ceritadewi

Archive for September, 2008|Monthly archive page

Ada Apa Dengan 16 September?

In Perspektif dan Isu Semasa, Tokoh, Pemikiran, Sejarah dan Buku on September 29, 2008 at 1:45 pm

Oleh: Adihamka Hidayat

Berani aku katakan bahawa tanggal 16 September sebelum ini bukanlah tarikh yang istimewa bagi mana-mana manusia yang bergelar rakyat Malaysia. Ia sekadar tarikh biasa, tidak keramat dan tiada Feng Shui di sebalik angka 169 atau 916. Cuma emas 916 saja yang ‘mahal’, tapi 16 September itu biasa-biasa saja.

Tapi tahun 2008, keadaan berubah (hakikatnya memang banyak benda yang berubah!haha!). 16 September menjadi satu polemik yang agak besar. Semuanya bermula apabila Ketua Pembangkang, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim melontar cadangan untuk menjadikan 16 September sebagai satu hari kelepasan am sempena penubuhan Malaysia 45 tahun yang lalu. “Perisytiharan” ini dibuat selepas beliau sahih menjadi YB Permatang Pauh dan mengorak langkah ke arah menubuh kerajaan baru.

Ketepikan soal Anwar, soal kerajaan baru dan seangkatan dengannya.

Ada apa dengan 16 September

Cadangan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang pelik, memandangkan di Sabah dan Sarawak sememangnya 16 September diisytiharkan sebagai cuti umum sempena Hari Malaysia. Malah menjadi satu amalan di kedua buah negeri Malaysia Timur ini sambutan Hari Malaysia diadakan, sama seperti sambutan Hari Kebangsaan di Semenanjung menjelang 31 Ogos saban tahun. Bezanya di semenanjung, cadangan itu sekarang ibarat mengusik kerajaan Barisan Nasional berkaitan peralihan kerajaan (buat kali pertama dalam sejarah Malaysia!).

Paling kelakar ialah apabila ada kalangan masyarakat, tidak terkecuali pimpinan politik yang memberi alasan bahawa Malaysia sudah terlalu banyak cuti umum. “Produktiviti negara boleh merudum kalau cadangan ini dilaksanakan.” Hakikatnya Brunei cuti sepanjang Ramadhan, ekonomi mereka masih dua langkah di depan kita.

Isunya Bukan Cuti Umum

Isunya bukanlah cuti umum semata-mata. Ia lebih penting daripada itu. Tanpa perlu cuti umum 16 September pun, masih banyak masa yang terbuang dek tabiat pegawai kerajaan yang ponteng kerja ataupun turun ngeteh* tanpa mengira pagi dan petang!

Jika disemak dalam buku-buku sejarah, 16 September dicatatkan sebagai hari penubuhan Malaysia, melalui penggabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (diisytihar keluar daripada Malaysia pada 1965). Asalnya pembentukan Malaysia dicadang pada tanggal 31 Ogos 1963, pun begitu disebabkan beberapa bantahan yang dibuat oleh negara serantau seperti Filipina dan Indonesia, maka ia dilambatkan kepada 16 September.

Justeru, 16 September ‘bukan cinta biasa’. Ini perlu diletakkan tinggi dalam takwim tahunan negara sebagai bukti kecintaan rakyat kepada tanah air, selepas 31 Ogos yakni tarikh kita menjajat kemerdekaan Tanah Melayu.

16 September tidak boleh dilihat sebagai kelepasan umum semata-mata. Ia perlu dilihat sebagai satu unsur penyatuan budaya dan sejarah, di antara Semenanjung Tanah Melayu dan Sabah-Sarawak. Biarpun terpisah dari aspek geografi, tetapi dari aspek roh kenegaraan ia telah tersemai sekian lama.

Ini meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik dan sebenar-benar truly Asia, tatkala kita mempunyai dua hari kebangsaan untuk diraikan – Hari Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan (atau bahasa inggerisnya Independence Day dan National Day). Dan ini pastinya keunikan yang perlu dirai. Justeru, 16 September perlulah diletakkan sebagai hari terpenting dalam kalendar Malaysia, sewajarnya. Entah kenapa, tahun 2008 baru ramai sedar dan ‘ambil pot’ tentang hal ini (terima kasih untuk YB Dato’ Seri Anwar untuk ini).

Meminggirkan 16 September hanya lebih menampakkan betapa wujud sentimen untuk meletakkan garis pemisah antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Jelas disebut oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman tatkala memasyhurkan Pemasyhuran Kemerdekaan 51 tahun dulu bahawa Malaysia…

“…akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Justeru, adalah zalim jika ada usaha meminggirkan 16 September. Pastinya kita tidak harus tergolong dalam golongan itu.

Kumpul

In Muda dan Kampus on September 29, 2008 at 1:25 pm

Oleh: Amin Ahmad

Pulang beraya dari Ibu Kota ada keunikannya tersendiri. Kata orang “tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain”.

Masa dan Manusia

Peralihan masa selalunya mengubah watak manusia. Tidak banyak sedikit. Lama sedikit, sebahagian dari kita mungkin telah berkahwin dan mempunyai zuriat. Perubahan diri dan kehidupan masing-masing ini tidaklah menghalang dari ingatan kepada masa lampau. Ya, mungkin ada sebahagian dari kita yang mahu membuang masa lampau atau tidak benar-benar menghargainya. Namun, hakikat bahawa masa lampau itu wujud dan menjadi sebahagian realiti yang membentuk kita tidak boleh dinafikan.

Kumpul

Raya kali ini kawan-kawan telah menyusun apa yang dipanggil reunion atau gathering untuk pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Derma (SMKD, tapi lebih gemar menyebut Derma) ambilan 1995 hingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1999. Sebahagian dari kami hanya sempat setahun, dua tahun, 3 tahun, 4 tahun atau menduduki penuh pengajian di sekolah ini.

Derma mungkin sebuah sekolah elit di Perlis, dan pernah menjadi antara sekolah harian terbaik di Malaysia. Ketika dikenali sebagai Derma English School, ianya terkenal sebagai sekolah yang melahirkan tokoh setempat dan negara.

Hakikat bahawa Derma merupakan sekolah pertama menerima anugerah ISO sebelum ini cukup untuk menunjukkan bagaimana sekolah ini berusaha keras menempatkan diri sebagai institusi penting pemberdayaan masyarakat. Kini Derma terpilih sebagai sebuah sekolah cluster di Malaysia.

Kami sebagai alumni yang terakhir abad ke-20 tentulah bangga dengan pencapaian baik kami sepanjang berada di Derma. Apatah lagi sebagai budak sukan, terlalu banyak kenangan pahit manis yang boleh boleh aku ingat sepanjang bersekolah – tidak terhad kepada sukan sahaja. Dua orang pelajar yang bersama kami mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR) – dan lulus dengan cemerlang – adalah antara mereka yang mendapat 10A dalam SPM 1999 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Taiping. Sejumlah dari kami bertebaran serata Malaysia, menghuni asrama penuh sebelum sebahagian bertebaran serata dunia menyambung pengajian. Sejumlah besar kami menyambung pengajian dalam negara dan berkerjaya.

26 Tahun

Kami belum terlalu tua. Usia 26 tahun hanya tambahan setahun kepada usia suku abad. Tapi kami sedar bahawa hidup juga tidak terlalu lama. Jika tidak separuh, sekurang-kurangnya satu pertiga kehidupan ini telah dilalui. Perlahan-lahan kami kian mengerti persoalan hidup bila kami bergelut dengannya.

Dari mana bermula dan bagaimana kami melaluinya kini bukan soal utama bagi kami. Apa yang penting cuba digambarkan dalam reunion kali ini ialah bagaimana kami berakhir. Dan kami sedar dalam proses ini – kami harus bersama.

Perkumpulan kali ini bukanlah yang pertama dan diharapkan bukan yang terakhir. Harapnya di hujung jalan, kita sempat melihat semula seluruh proses yang membawa kita kepada apa yang ada saat ini.

Zaman muda sentiasa menyeronokkan dan penuh cabaran – dan kita dewasa kerananya.

Balik Kampung Beraya

In Wisata on September 29, 2008 at 1:21 pm

Oleh: Amin Ahmad

Tahun ini tahun ke sembilan aku balik beraya di kampung dari Ibu Kota. Dulu waktu belajar di peringkat Diploma dan Ijazah di Universiti Putra Malaysia (UPM), aku pulang naik bas. Pernah sekali aku hanya dapat ambil bas pada malam raya. Sampai Perlis jam 5 pagi hari raya. Mujur! Sejak 4 tahun lepas, aku memandu sendiri. Sudah 3 kali ‘Aidilfitri adik aku pulang bersama, sejak dia belajar di Lim Kok Wing. Hanya sekali dia berpeluang memandu. Belum cekap.

Setiap kali Ramadhan, aku akan segera berhubung dengan kawan-kawan lama semasa bersekolah dan bekerja di sekitar Lembah Klang. Selain bertanya khabar, aku tawarkan kerusi kosong untuk pulang raya bersama. Ikut nasiblah. Orang bekerja cutinya tak sama dengan orang belajar.

Sebelum Balik

Usai kerja yang perlu dibuat (tak boleh dibuat di kampung), aku berkemas dan sedia untuk pulang beraya. Ada kira-kira 6 hari lagi nak beraya. Sempatlah balik tolong apa yang patut. Selepas mematikan semua suis elektirik, memastikan gas dimatikan dan mengunci semua pintu rumah, kami bertolak ke Bangsar mengambil kawan. Untuk mereka yang biasa pulang beraya, biasanya jiran-jiran juga dimaklumkan. Sekarang polis juga menawarkan khidmat rondaan. Kita hanya perlu maklumkan kepada mereka.

Biasanya jarak perjalanan dalam ukuran masa ialah sekitar 6 hingga 8 jam dengan mengambil kira rehat dan juga kelajuan memandu. Tahun ini kami hanya pulang bertiga. Dengan harga minyak yang meningkat, jumlah duit yang dikongsi juga meningkat. Tapi seperti biasa aku akan keluar lebih. Maklumlah kereta sendiri. Jika tawaran aku tinggi, lebih baik orang naik bas! Kereta diselenggara lebih awal. Tukar minyak hitam, minyak gear, minyak power stereng, periksa lampu, tayar, air dan engin untuk memastikan semua selamat digunakan.

Keluar dari Ibu Kota

Kami keluar sekitar jam 2 pagi dari Damansara Damai (rumah kawan aku). Sebelum ini berbelah bagi untuk pulang awal, mana tahu berlaku pertukaran kerajaan (haha). Akhirnya kami nekad, jika berlaku pertukaran kerajaan sekalipun, kami boleh menjadi duta berita kepada orang kampung (haha)!

Sekitar jam 4 pagi, kami singgah bersahur di Sungai Perak. Hentian rehat ini telah berubah wajah dan menjadi antara yang terbaik untuk disinggah. Kadangkala kami rehat di Gunung Semanggol, hentian rehat yang lebih kecil tetapi selalunya menurut kawan aku ramai awek-awek yang singgah dan ia tepat bila kami pulang mengundi sebelum ini (haha). Aku tak tahu pula kerana aku selesa menaiki Transnasional jika pulang dengan bas. Nampaknya dulu aku silap (haha)! Hentian Sungai Perak masih lengang, mungkin kerana kami pulang awal. Tahun-tahun sebelum ini sesak hingga kami tak berpeluang bersahur. Sepatutnya kawan-kawan dari bangsa lain, khususnya masyarakat Cina harus bersikap inklusif untuk memberi peluang kepada umat Islam yang berpuasa dapat bersahur terlebih dulu.

Sepanjang perjalanan, aku mendengar ratusan lagu raya yang dimuat turun dari internet. Teknologi ternyata memudahkan. Aku tak tahu sama ada bisnes lagu-lagu raya melalui kaset dan CD telah ‘bungkus’ kerana perkembangan ini.

Selepas mengisi minyak dan menjamah sahur, kami bergegas semula. Kata orang, minyak elok diisi pada waktu malam kerana cuaca panas waktu siang banyak menukar minyak menjadi gas, lalu merugikan kuantiti minyak yang diisi. Selain itu, muatan juga hendaklah dipastikan tidak terlalu berat. Faktor angin tayar juga boleh mempengaruhi kadar minyak yang digunakan.

Sampai di Perlis

Kami sampai di Perlis sekitar jam 8 pagi. Memandu pada kadar 100 hingga 130 kilometer sejam terasa sangat cepat. Sebenarnya ia berpunca dari Lebuh Raya yang lengang. Jarang sekali dapat memandu laju begitu dengan rasa selamat. Kebiasaannya aku memandu antara 100 hingga 110 kilometer sejam. Memandu pada kadar rata juga dapat membantu penjimatan minyak. Selain itu, tayar kereta tidak terlalu mengembang kerana faktor cuaca yang lebih sejuk. Pernah juga hujan, dan ia ternyata sulit bila kereta hanya dapat dipandu sekitar 40 kilometer sejam. Jarak Kuala Lumpur ke Perlis sekitar 600 kilometer boleh membuatkan kita bosan dan sakit badan.

Pasar Ramadhan di Perlis nyata mengalami kesan inflasi selepas kenaikan harga minyak. Ia mungkin tidak seburuk di sekitar Kuala Lumpur. Tahun ini tak banyak jenis makanan yang dapat aku nikmati. Sebanyak manakah untung peniaga kali ini?

Berbuka puasa di rumah ternyata tidak boleh dibanding berada di tempat lain. Peluang berbuka bersama keluarga biasanya diselang seli dengan sembang keluarga dan isu semasa. Isu semasa yang hangat sudah tentu soal Anwar Ibrahim. Aku tidak mahu memanjangkan perbualan tentang subjek ini dan hanya berkata “Sabar saja, jika berlaku, maka berlaku. Jika tidak, Anwar sendiri menanggung akibat”.

Tahun ini hanya ada emak, ayah dan adik di rumah. Adik aku tidak ke mana-mana kerana sakit (baca:Orang Kurang Upaya). Selain mereka, yang lain sedang menyambung pengajian dan bekerja. Satu-satunya adik perempuan aku belajar di Kedah dan Abang pula di Singapura – berkahwin dan bekerja di sana. Tahun ini abang tidak balik. Maka tinggal kami saja akan mengulang rutin yang sama – ziarah keluarga dan sahabat handai, membersih rumah dan kubur – tok, nenek, moyang, kakak dan saudara mara – serta menjamu selera. Musim raya kebelakangan ini kurang kunjungan kanak-kanak yang biasanya mencari duit raya.

Malam tujuh likur perlahan beransur, tanda Ramadhan di penghujung. Khabarnya para sahabat Rasulullah s.a.w. menangis saat pemergiannya. Maklumlah, bulan ini ternyata punya berkatnya tersendiri. Ramadhan bulan turunnya Al-Quran, kewajipan berpuasa dan zakat, sebahagian kita menunaikan umrah pada bulan ini, membanyakkan sedekah, bertarawikh dan bangun malam, meraikan anak yatim, khatam Al-Quran, menghayati Badar dan sebagainya. Syawal juga tidak kurang penting dengan ganjaran puasa 6 hari, peluang merapatkan silaturrahim dan meraikan khazanah budaya. Ada juga yang berkahwin sempena raya ini. Indahnya kehidupan jika kita menghargai.

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin!