ceritadewi

Pada Cinta Ada Perjuangan

In Muda dan Kampus on October 28, 2008 at 4:31 pm

Oleh: Amin Ahmad

Meski tidak sempurna, aku kira Cinta Hari-Hari Rusuhan adalah sebuah novel yang berjaya.

Aku masih boleh ingat waktu mendapatkan buku ini ada dua perkara yang menyebabkan aku tidak berlengah mendapatkannya:

1. Kerana ia berkisar soal pergerakan pelajar dalam isu masyarakat
2. Kerana tagline di luar tajuk novel yang cukup menyentuh hati aku – Kejujuran Kadangkala Menakutkan.

Selepas membacanya aku fikir Faisal Tehrani (ditulis Faizal Tehrani di luar kulit novel ini) berjaya mengolah persetujuan aku untuk merasakan kehebatan penceritaannya meskipun ada sedikit kekaburan dalam watak sampingan. Rahsia kejayaannya pada aku ialah ia berpijak pada realiti dunia pelajar itu sendiri yang tak sunyi – berjuang dan bercinta (cinta yang real antara lelaki dan perempuan!).

Hanya saja mungkin realiti lampau kisah seperti yang digambarkan Faisal boleh menyentuh perasaan. Realiti lampau yang tidak cukup jauh, sehingga awal tahun 2000, sudah tentu realiti 1960-an hingga ke hujung millenium lepas lebih terkesan dengan gambaran kisah ini khususnya angkatan pelajar zaman akhir 1960-an hingga akhir 1970-an, seterusnya mungkin pelajar yang mendalami desak Reformasi akhir 1990-an.

Sebenarnya bercerita memang mudah. Tapi bahu yang menggalasnya tidak sama. Orang tua-tua berkata berat mata melihat, berat lagi bahu memikulnya. Maksud kiasannya sudah tentu ada beza mereka yang terlibat secara langsung berbanding yang tidak.

Percayalah, antara mereka yang terlibat dan tidak – tentu ada bezanya…

Semoga bersabar mereka yang melaluinya dengan susah payah.

Politik Kampus

In Muda dan Kampus on October 27, 2008 at 7:54 am

Oleh: Amin Ahmad

“Amin, bukan kau kah yang buat memorandum di Kolej Tiga Belas tempoh hari?” soal Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang baru.

“Ya, sayalah orangnya” jawab aku ringkas.

“Kau ni biru atau hijau (merujuk BN atau PAS)? tanya dia lagi.

“Saya pro pelajar, terlepas dari persoalan biru atau hijau” jawab aku tegas.

“Tak boleh. Kau mesti ambil sikap – biru atau hijau” dia cuba mendesak.

Itu kali pertama kami bertemu di ruang kecil bilik Pengetua di sebuah kolej di mana dia memangku jawatan Pengetua selepas dinaikkan menjadi TNC (HEP) yang penuh kontroversi kerana diprotes oleh pensyarah-pensyarah yang lebih senior.

Dan aku mengambil sikap bahawa senioriti bukan persoalan. Pada aku TNC (HEP) ada bidang kuasanya dan sekiranya dia mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik, maka tidak menjadi kesalahan. Soal mengolah persetujuan tentang siapa layak atau tidak layak, biarlah mereka yang uruskan. Sudah tentu lantikan terus daripada Pak Menteri tidak aku persetujui. Campur tangan kerajaan di mana-mana selalunya merosakkan kerana mereka adalah politikus yang berkepentingan besar dan selalu merosakkan!

Selepas itu hubungan kami berjalan sederhana baik. Semua tahu bahawa aku kuat mendokong Reformasi – satu aliran besar dalam masyarakat yang mahu perubahan kepada corak perjalanan politik negara. Oleh kerana itu aku terhukum. Undi majoriti dan pertama kali mencecah lima angka di kampus tidak memberi banyak erti.

“Aku minta maaf Amin. Aku dapat panggilan dari Fahmi (pegawai HEP yang baru-baru ini dilaporkan oleh aktivis pelajar mengeluarkan kata tak guna solat kalau tak bayar yuran) minta apa juga berlaku TNC (HEP) tak mahu kau dijadikan Yang Dipertua” maklum sebilangan teman dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang berjumpa aku. Pada pertengahan khidmat, mereka sangat kecewa kerana jawatan penting dalam MPP telah diisi oleh orang pilihan TNC dan hasilnya telah merosakkan iltizam mereka untuk belajar erti kepimpinan yang berdikari.

Semua agenda MPP diputuskan oleh HEP dan bukan MPP sendiri. Mesyuaratlah berbuih mulut. Ini memaksa aku melontarkan kata keras semasa mesyuarat terakhir bahawa “Celakalah mereka yang menggunakan MPP untuk kepentingan peribadi”. Sejauh mana pun aku mempunyai pandangan bebas sebagai individu, nama MPP tak pernah aku gadaikan untuk kepentingan politik individu – dalam atau luar kampus.

Rakan-rakan rapat dalam MPP cukup maklum pendirian aku dalam hal membela pelajar terlepas dari kepentingan politik. Sebab itu dalam isu berisiko dan perlu berhadapan dengan pentadbiran kampus atau menjelaskan pendirian MPP kepada pelajar, aku akan diwakilkan.

Aku masih ingat dalam satu dialog di Kolej Tujuh bila seorang pelajar mengeluarkan kecaman “MPP jangan jadi anjing kerajaan!” berikutan sikap lunak kami berkaitan isu PTPTN. Dalam jawab balas aku, nyata kami MPP bukan anjing kerajaan sebaliknya kami telah berjaya merungkai masalah akar kepada keperluan pelajar melalui pinjaman sementara kewangan universiti dek kegagalan PTPTN menyalurkan pinjaman pada masanya. Pada waktu itu keutamaan isu ialah pelajar mesti memperoleh wang untuk biaya mereka sekurang-kurangnya dalam sebulan pertama. Keutamaan kedua ialah mendesak secara berterusan PTPTN memastikan wang ini masuk sebelum bulan kedua. Mujur Naib Canselor kami sungguh perihatin dan mahu membantu. Beliau akhirnya tersingkir kerana tidak sehaluan dengan pandangan TNC (HEP) dan Menteri Pengajian Tinggi waktu itu sebagaimana umum maklum kerana dipaparkan di media.

Aku dihalang berucap dalam majlis bersama mahasiswa. Itu arahan TNC (HEP) kata Setiausaha Agung MPP yang juga orang TNC (HEP). Ini telah menimbulkan perpecahan dalam MPP kerana rakan-rakan dalam MPP rentas pandangan politik menolak sikap ini. Seingat aku, hanya segelintir, sekitar lapan hingga sepuluh orang yang sentiasa meng’amin’kan kehendak TNC (HEP).

“NYDP MPPUPM didapati sedang mengaturkan pertemuan seluruh MPP dengan Anwar Ibrahim. Minta pihak tuan ambil tindakan. Lucutkan jawatan beliau sebagai Pengarah Konvensyen Mahasiswa Nasional” begitu sms yang dipanjangkan TNC (HEP) kepada aku pada satu malam. Esoknya, tugas Pengarah Konvensyen Mahasiswa Nasional bertukar tangan yang akhirnya dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar sendiri.

Konvensyen ini dianjurkan UPM dan kontinjen UPM adalah yang paling sedikit hadir kerana TNC (HEP) dalam satu panggilan telefon tidak mahu “mereka yang pro pembangkang hadir”. Tuntutan daripada rakan-rakan MPP tidak diendahkan. Bagaimana aku tahu? Kerana semasa panggilan dibuat, nada telefon bimbit ini dikuatkan untuk kami sama-sama mendengar.

Kerumitan perjalanan MPP membawa aku untuk mendesak terus kepada Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi pada waktu itu untuk menyelesaikan beberapa perkara termasuk hal asas pejabat MPP. Suka atau tidak aku harus berterima kasih kepada Dato’ Adham Baba yang pada aku menunaikan pesannya kepada aku sebaik saja diumumkan layak menjadi Ahli Majlis Perwakilan Pelajar “Saya mahu anda bertugas untuk mahasiswa tidak kira parti apa pun. Bantulah kerajaan untuk menjelaskan dasar-dasar yang ada dan beritahu saya jika ada perkara-perkara yang tidak dipersetujui”.

Ya, bukan aku tidak tahu bahawa Dato’ Adham adalah wakil UMNO melalui jawatan di Kementerian untuk memastikan pengaruh UMNO kekal di kampus. Tapi pada aku biarlah UMNO atau mana-mana parti melebarkan wacana mereka di kampus. Aku percaya akan ada arus lain selain partisan sekalipun semua parti politik dibenarkan bertapak di kampus. Ini lebih menepati realiti dan biarlah mahasiswa menjadi matang melalui proses mengolah persetujuan yang menepati realiti.

Mahasiswa bukan anak kecil yang perlu lebih dimanjakan atau dirotan. Mahasiswa juga tidak mungkin sempurna pengetahuannya. Ajarlah mahasiswa dengan kedaulatan undang-undang dan ketinggian Perlembagaan.

Cebisan pengalaman di atas hanya sebahagian kecil bagaimana hancurnya harapan aku yang melihat universiti sebagai sarana pembinaan tamadun insan. Tapi aku belum berputus asa.

Hidup Mati Bercinta

In Muda dan Kampus on October 11, 2008 at 10:47 am

Oleh: Amin Ahmad

Aku tak tahu sama ada kalian pernah bercinta atau tidak. Aku pernah bercinta masa zaman sekolah. Tak tahu sama ada ia boleh dikategorikan sebagai cinta monyet atau pun tidak. Yang pasti kesan daripadanya ialah aku fikir bahawa cinta itu boleh ‘membunuh dan menghidupkan’.

Oh, tentu saja aku tidak memaksudkan cinta itu telah mengambil alih kerja Tuhan. Hanya yang mungkin, Tuhan mewakilkan cinta sebagai kecantikan hidup. Bila cakap soal cinta, ia banyak dirujuk kepada soal hati. Aku mahu memasukkan soal fikiran sama, tapi ada reservation untuk itu. Kadang-kadang kuasa cinta menjadikan manusia tidak rasional. Sebagai orang yang percaya dengan kepentingan sikap rasional, aku percaya cinta juga harus rasional dan tidak terlalu didorong emosi. Ah, tentu saja bosan sekali membina rasional dalam percintaan! Adakah akal akan selalu bertentang dengan hati?

Sebenarnya tidak sukar menemukan orang yang bersetuju dengan pentingnya nilai cinta. Tanya saja di mana-mana, manusia akan melihat nilai cinta sebagai sebuah nilai yang agung. Bagi mereka yang gagal melihatnya (mahu saja aku sebut loser!), cinta akan diseret kepada soal seks dan seumpamanya. Aduh, kenapa lekas sangat?

Hakikat bahawa di mana-mana tidak sukar menemukan ‘laskar’ cinta ini membenihkan persoalan di benak aku. Adakah manusia sudah tandus dengan kasih sayang?

Ya, sebenarnya jauh di sudut hati aku percaya nilai cinta tandus dalam masyarakat hari ini. Dari ketandusan ini muncul permusuhan. Dari ketandusan ini muncul kacau bilau dalam masyarakat. Yang berkuasa menindas dan menyalah guna kuasa. Yang tidak berkuasa memaki hamun yang berkuasa. Yang berpangkat memandang rendah yang tidak berpangkat, yang tidak berpangkat melihat yang berpangkat poyo lebih. Yang rajin berusaha dan berjaya, yang malas mengata-ngata. Yang miskin bersabung nyawa untuk hidup, yang kaya buat-buat tak nampak waktu sedap melantak.

Kerana cinta, Nabi Adam a.s. menurut kemahuan Hawa dengan mengambil dan memakan buah larangan di syurga, Kerana cinta, Nabi Nuh a.s. memanggil anak dan isterinya menaiki bahteranya. Kerana cinta Zulaika memfitnah Nabi Yusof a.s.. Kerana cinta Nabi Muhammad s.a.w. mengajak manusia kepada Tauhid dengan kesabaran dan kebijaksanaan, bukan menjerit bahawa manusia semua celaka dan akan ke neraka!

Kerana cinta Ernesto Che Guevara menyeru perjuangan rakyat tertindas. Kerana cinta Gandhi berjuang. Kerana cinta Jose Rizal ditembak.

Kerana cinta ada yang ‘mati’ dan ‘terus hidup’. Hidup – adakah ia bermula dari puing permusuhan? Tak bolehkah cinta selalu menafikan kebencian?

Yang pasti hidup ditakdirkan berbeza. Kata Tuhan ini untuk kita saling kenal dan mencintai, bukan saling membenci. Ah, cinta…meski murni pada maksudnya,realitinya tetap sukar dimurnikan!

Ketawa dan air mata ada dalam cinta. Dan cinta akan tetap jadi ‘mazhab’ terutama pada orang muda. Hanya saja sama ada cinta itu ‘mematikan’ atau ‘memberi nyawa’.