Oleh: Amin Ahmad
“Amin, bukan kau kah yang buat memorandum di Kolej Tiga Belas tempoh hari?” soal Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang baru.
“Ya, sayalah orangnya” jawab aku ringkas.
“Kau ni biru atau hijau (merujuk BN atau PAS)? tanya dia lagi.
“Saya pro pelajar, terlepas dari persoalan biru atau hijau” jawab aku tegas.
“Tak boleh. Kau mesti ambil sikap – biru atau hijau” dia cuba mendesak.
Itu kali pertama kami bertemu di ruang kecil bilik Pengetua di sebuah kolej di mana dia memangku jawatan Pengetua selepas dinaikkan menjadi TNC (HEP) yang penuh kontroversi kerana diprotes oleh pensyarah-pensyarah yang lebih senior.
Dan aku mengambil sikap bahawa senioriti bukan persoalan. Pada aku TNC (HEP) ada bidang kuasanya dan sekiranya dia mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik, maka tidak menjadi kesalahan. Soal mengolah persetujuan tentang siapa layak atau tidak layak, biarlah mereka yang uruskan. Sudah tentu lantikan terus daripada Pak Menteri tidak aku persetujui. Campur tangan kerajaan di mana-mana selalunya merosakkan kerana mereka adalah politikus yang berkepentingan besar dan selalu merosakkan!
Selepas itu hubungan kami berjalan sederhana baik. Semua tahu bahawa aku kuat mendokong Reformasi – satu aliran besar dalam masyarakat yang mahu perubahan kepada corak perjalanan politik negara. Oleh kerana itu aku terhukum. Undi majoriti dan pertama kali mencecah lima angka di kampus tidak memberi banyak erti.
“Aku minta maaf Amin. Aku dapat panggilan dari Fahmi (pegawai HEP yang baru-baru ini dilaporkan oleh aktivis pelajar mengeluarkan kata tak guna solat kalau tak bayar yuran) minta apa juga berlaku TNC (HEP) tak mahu kau dijadikan Yang Dipertua” maklum sebilangan teman dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang berjumpa aku. Pada pertengahan khidmat, mereka sangat kecewa kerana jawatan penting dalam MPP telah diisi oleh orang pilihan TNC dan hasilnya telah merosakkan iltizam mereka untuk belajar erti kepimpinan yang berdikari.
Semua agenda MPP diputuskan oleh HEP dan bukan MPP sendiri. Mesyuaratlah berbuih mulut. Ini memaksa aku melontarkan kata keras semasa mesyuarat terakhir bahawa “Celakalah mereka yang menggunakan MPP untuk kepentingan peribadi”. Sejauh mana pun aku mempunyai pandangan bebas sebagai individu, nama MPP tak pernah aku gadaikan untuk kepentingan politik individu – dalam atau luar kampus.
Rakan-rakan rapat dalam MPP cukup maklum pendirian aku dalam hal membela pelajar terlepas dari kepentingan politik. Sebab itu dalam isu berisiko dan perlu berhadapan dengan pentadbiran kampus atau menjelaskan pendirian MPP kepada pelajar, aku akan diwakilkan.
Aku masih ingat dalam satu dialog di Kolej Tujuh bila seorang pelajar mengeluarkan kecaman “MPP jangan jadi anjing kerajaan!” berikutan sikap lunak kami berkaitan isu PTPTN. Dalam jawab balas aku, nyata kami MPP bukan anjing kerajaan sebaliknya kami telah berjaya merungkai masalah akar kepada keperluan pelajar melalui pinjaman sementara kewangan universiti dek kegagalan PTPTN menyalurkan pinjaman pada masanya. Pada waktu itu keutamaan isu ialah pelajar mesti memperoleh wang untuk biaya mereka sekurang-kurangnya dalam sebulan pertama. Keutamaan kedua ialah mendesak secara berterusan PTPTN memastikan wang ini masuk sebelum bulan kedua. Mujur Naib Canselor kami sungguh perihatin dan mahu membantu. Beliau akhirnya tersingkir kerana tidak sehaluan dengan pandangan TNC (HEP) dan Menteri Pengajian Tinggi waktu itu sebagaimana umum maklum kerana dipaparkan di media.
Aku dihalang berucap dalam majlis bersama mahasiswa. Itu arahan TNC (HEP) kata Setiausaha Agung MPP yang juga orang TNC (HEP). Ini telah menimbulkan perpecahan dalam MPP kerana rakan-rakan dalam MPP rentas pandangan politik menolak sikap ini. Seingat aku, hanya segelintir, sekitar lapan hingga sepuluh orang yang sentiasa meng’amin’kan kehendak TNC (HEP).
“NYDP MPPUPM didapati sedang mengaturkan pertemuan seluruh MPP dengan Anwar Ibrahim. Minta pihak tuan ambil tindakan. Lucutkan jawatan beliau sebagai Pengarah Konvensyen Mahasiswa Nasional” begitu sms yang dipanjangkan TNC (HEP) kepada aku pada satu malam. Esoknya, tugas Pengarah Konvensyen Mahasiswa Nasional bertukar tangan yang akhirnya dikendalikan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar sendiri.
Konvensyen ini dianjurkan UPM dan kontinjen UPM adalah yang paling sedikit hadir kerana TNC (HEP) dalam satu panggilan telefon tidak mahu “mereka yang pro pembangkang hadir”. Tuntutan daripada rakan-rakan MPP tidak diendahkan. Bagaimana aku tahu? Kerana semasa panggilan dibuat, nada telefon bimbit ini dikuatkan untuk kami sama-sama mendengar.
Kerumitan perjalanan MPP membawa aku untuk mendesak terus kepada Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi pada waktu itu untuk menyelesaikan beberapa perkara termasuk hal asas pejabat MPP. Suka atau tidak aku harus berterima kasih kepada Dato’ Adham Baba yang pada aku menunaikan pesannya kepada aku sebaik saja diumumkan layak menjadi Ahli Majlis Perwakilan Pelajar “Saya mahu anda bertugas untuk mahasiswa tidak kira parti apa pun. Bantulah kerajaan untuk menjelaskan dasar-dasar yang ada dan beritahu saya jika ada perkara-perkara yang tidak dipersetujui”.
Ya, bukan aku tidak tahu bahawa Dato’ Adham adalah wakil UMNO melalui jawatan di Kementerian untuk memastikan pengaruh UMNO kekal di kampus. Tapi pada aku biarlah UMNO atau mana-mana parti melebarkan wacana mereka di kampus. Aku percaya akan ada arus lain selain partisan sekalipun semua parti politik dibenarkan bertapak di kampus. Ini lebih menepati realiti dan biarlah mahasiswa menjadi matang melalui proses mengolah persetujuan yang menepati realiti.
Mahasiswa bukan anak kecil yang perlu lebih dimanjakan atau dirotan. Mahasiswa juga tidak mungkin sempurna pengetahuannya. Ajarlah mahasiswa dengan kedaulatan undang-undang dan ketinggian Perlembagaan.
Cebisan pengalaman di atas hanya sebahagian kecil bagaimana hancurnya harapan aku yang melihat universiti sebagai sarana pembinaan tamadun insan. Tapi aku belum berputus asa.